HIPERTENSI atau tekanan darah tinggi merupakan salah satu penyakit paling kerap dihidapi penduduk negara ini.
Walaupun bahaya penyakit ini telah banyak didedahkan begitu juga cara-cara untuk mencegahnya, bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.
Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit tersebut, malah ada individu yang tidak mengetahui mereka mengalami tekanan darah tinggi.
Dalam kebanyakan kes, penyakit ini tidak akan hilang, dalam erti kata lain dihidapi seumur hidup.
Akibatnya, penghidap tekanan darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.
Secara amnya, penyakit tersebut merujuk kepada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.
Individu yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat, berpotensi mendapat penyakit tersebut.
Sekiranya keadaan tersebut tidak dibendung dari awal boleh membawa risiko serangan atau kegagalan jantung, strok, dan kerosakan buah pinggang.
Kesemua risiko akibat komplikasi darah tinggi ini boleh dielakkan jika individu tersebut berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.
Menurut Pegawai Pemakanan, Hospital KPJ Ampang Puteri, Nur Shakila Pingi, kepada mana-mana individu yang mempunyai penyakit darah tinggi, mereka dinasihatkan agar menjaga pemakanan harian.
Ini kerana katanya, pemakanan turut mempengaruhi kemungkinan seseorang itu boleh mendapat tekanan darah tinggi.
“Kajian ada menunjukkan pemakanan yang sihat mengurangkan risiko penyakit tersebut dan menurunkan tahap tekanan darah pesakit darah tinggi.
“Pesakit digalakkan mengambil makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, ikan, dan kekacang.
“Pada masa yang sama, pesakit tekanan darah tinggi disarankan agar mengurangkan pengambilan garam, gula, minuman yang mengandungi gula, mengurangkan pengambilan lemak tepu, dan daging,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Selain itu, katanya, penyakit tekanan darah dan kolesterol yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah kerosakan salur darah yang mengakibatkan salur darah menjadi keras dah sempit.
Disebabkan permasalahan ini, pesakit boleh mengalami serangan jantung dan angin ahmar.
Untuk itu juga, pesakit darah tinggi turut disarankan agar mengelakkan pengambilan makanan segera di samping ikan masin dan telur masin.
Bagi pesakit tekanan darah tinggi, mereka seharusnya membaca analisis khasiat makanan yang terdapat pada setiap bungkusan makanan supaya sesuai dengan pelan makanan harian.
Selain itu, susu rendah lemak, buah-buahan tinggi potasium dan serat, nasi dan roti perang, serta yogurt tanpa perisa, antara makanan yang disarankan untuk pesakit darah tinggi.
“Jadi, kawalan diet terutama pengambilan garam selain melakukan senaman untuk mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi.
“Di sini juga diingatkan bahawa stres boleh meningkatkan tekanan darah. Untuk itu pesakit dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah mengurangkan stres dan mendapatkan rehat secukupnya sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan mereka.
“Penyakit darah tinggi ini boleh dielak dengan mengamalkan cara hidup yang sihat,” beritahunya lagi sebelum mengakhiri bicara.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/mengurus-darah-tinggi-1.58042#ixzz4ol11NOlY
© Utusan Melayu (M) Bhd